KUCHING, 5 JULAI 2025 - Yang Amat Berhormat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg mempengerusikan Mesyuarat Pre-Council Sempena Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako pada Sabtu.
Mesyuarat yang bermula pada jam 10 pagi berlangsung selama kira-kira satu jam dan berakhir pada jam 11 pagi.
Mesyuarat Pre-Council dihadiri Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri kabinet serta ahli-ahli DUN.
Sementara itu, menurut Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia bin Awang Nasar pada sidang media selepas mesyuarat tersebut memberitahu, persidangan khas kali ini bertujuan bagi membentangkan satu Rang Undang-Undang Kerajaan iaitu Dewan Undangan Negeri (Composition of Membership) Bill, 2025.
"Rang undang-undang tersebut akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.15 Asajaya, Yang Berhormat Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.
"Bacaan Pertama, Kedua dan Ketiga bagi Rang Undang-Undang tersebut akan dilakukan pada hari yang sama.
"Tiada Usul daripada Ahli Dewan Biasa di bawah Peraturan Mesyuarat 23, pada persidangan kali ini," jelasnya kepada media.
Mesyuarat Kedua bagi Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 (Mesyuarat Khas) akan diadakan selama satu hari pada Isnin, 7 Julai 2025 bertempat di Aras 8, Bangunan DUN Sarawak pada jam 9 pagi.